
Paris - Mahkamah Rayuan Paris hari ini mengeluarkan keputusan membatalkan sepenuhnya Anugerah Akhir dalam kes tuntutan berkaitan Sulu terhadap Malaysia, sekali gus mengesahkan bahawa anugerah tersebut tidak sah di sisi undang-undang.
Mahkamah turut mengarahkan pihak yang menamakan diri sebagai penuntut Sulu membayar kos mahkamah sebanyak €200,000 kepada Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia mengesahkan bahawa penghakiman rasmi tersebut telah diterima pada malam tadi.
Dalam penghakimannya, Mahkamah Rayuan mengesahkan bahawa Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Anugerah Akhir berkenaan kerana tiada sebarang perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia. Oleh itu, keseluruhan keputusan timbang tara tersebut dibatalkan sepenuhnya.
Keputusan ini mengukuhkan pendirian Malaysia bahawa prosiding timbang tara yang dikenakan terhadap negara ini adalah tidak berasas dan bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa.
Kerajaan Malaysia menyatakan bahawa kemenangan ini diharap dapat menamatkan semua cubaan tidak berasas oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Sulu, termasuk pembiaya litigasi mereka, untuk memeras wang dan aset daripada negara ini.
Malaysia juga menegaskan kesediaannya untuk terus mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan negara di mana-mana mahkamah yang berkaitan sekiranya perlu.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023 telah menolak pengiktirafan dan penguatkuasaan Anugerah Separa yang dikeluarkan oleh Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 atas alasan yang sama.
Seterusnya, pada 6 November 2024, Mahkamah Agung Perancis pula menolak sepenuhnya cabaran yang dikemukakan oleh pihak penuntut terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris tersebut.
Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang tuntutan tidak berasas dan apa yang disifatkan sebagai penipuan Sulu.

