
Kota Kinabalu – Platform penstriman tempatan, FH Cinema, secara rasmi melancarkan panel baharu dikenali sebagai ExploreSabah, sebuah saluran kandungan video digital yang memfokuskan penceritaan tentang pelancongan desa, komuniti, kraftangan, pertanian dan warisan budaya di seluruh Sabah melalui rakaman visual berkualiti tinggi. Pelancaran ExploreSabah merupakan satu inisiatif strategik untuk mengangkat kisah masyarakat, lokasi dan usaha tempatan ke ruang digital secara lebih tersusun, profesional dan mampan.
ExploreSabah dibangunkan melalui usaha besar oleh syarikat penerbitan dan pengedaran filem serta muzik, F Harmthon Production Sdn Bhd, selaku pengendali rasmi FH Cinema, sebagai satu pelaburan jangka panjang dalam pembangunan kandungan digital dan pemerkasaan komuniti di Sabah. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong industri kreatif tempatan serta membuka ruang baharu kepada pengusaha kecil dan komuniti desa untuk dipaparkan melalui medium video profesional.
Pengasas FH Cinema, Freddy Harmthon (FH) menyatakan bahawa, penubuhan ExploreSabah lahir daripada keperluan sebenar di lapangan, di mana ramai pengusaha tempat pelancongan desa, pengusaha homestay, penggiat kraftangan dan petani tempatan telah lama berusaha membangunkan lokasi dan produk masing-masing, namun berdepan cabaran besar dari segi publisiti dan pendedahan. Menurut beliau, tidak semua komuniti mempunyai kemampuan untuk melakukan pemasaran digital secara efektif, sedangkan promosi merupakan kunci utama dalam menarik kedatangan pengunjung.
Beliau turut menjelaskan bahawa ExploreSabah diwujudkan sebagai sebuah platform yang menyatukan lokasi-lokasi menarik di seluruh Sabah dalam satu ruang digital berstruktur, sekali gus memudahkan orang awam, pelancong tempatan dan pelawat luar untuk melihat dengan lebih jelas apa yang sebenarnya wujud di setiap kawasan. Dengan paparan video yang menyeluruh, penonton bukan sahaja dapat melihat keindahan tempat, malah memahami suasana sebenar, aktiviti yang ditawarkan serta keunikan komuniti di sesuatu lokasi sebelum membuat keputusan untuk berkunjung.
Menurut FH lagi, apabila pengunjung mula datang, kesannya bukan sahaja dirasai oleh pengusaha pelancongan, tetapi turut melibatkan peningkatan peluang pekerjaan dalam komuniti setempat, termasuk dalam sektor kraftangan, makanan tempatan dan pertanian. Aktiviti ekonomi akan bergerak apabila orang luar datang, membeli, menginap dan berinteraksi dengan penduduk kampung. Dalam jangka panjang, hal ini mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mikro di peringkat desa.
“Berbeza dengan media sosial yang bersifat sementara dan bergantung kepada algoritma, ExploreSabah di FH Cinema disediakan sebagai sebuah arkib digital jangka panjang yang membolehkan setiap video kekal relevan dan mudah dicapai walaupun selepas tempoh lama.
“Kandungan yang diterbitkan tidak tenggelam dalam aliran masa, malah menjadi rujukan berterusan untuk sesiapa sahaja yang ingin merancang percutian atau mencari destinasi baharu di Sabah.
“Selain itu, setiap video di ExploreSabah turut disertakan dengan maklumat perhubungan terus kepada pengusaha lokasi atau komuniti setempat seperti laman Facebook atau talian telefon mereka, bagi membolehkan urus niaga berlaku secara langsung tanpa melalui FH Cinema,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pendekatan ini bertujuan memastikan manfaat terus dinikmati oleh komuniti tempatan, di samping membentuk ekosistem pelancongan yang lebih telus dan berdaya saing.
FH turut menambah bahawa semasa musim pilihan raya yang lalu, beliau menerima banyak maklum balas daripada pengusaha kecil yang menyuarakan kekecewaan kerana usaha mereka tidak mendatangkan hasil akibat kurangnya promosi dan pendedahan. Sehubungan itu, beliau percaya bahawa kewujudan ExploreSabah mampu menjadi salah satu solusi praktikal bagi menangani isu tersebut dengan menyediakan sebuah platform khusus untuk mempromosikan lokasi dan produk tempatan secara berterusan.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk pengusaha pelancongan, agensi kerajaan, komuniti kampung, usahawan desa serta organisasi bukan kerajaan dalam merancakkan industri pelancongan Sabah secara kolektif. Menurut beliau, ExploreSabah bukan milik satu pihak semata-mata, sebaliknya merupakan sebuah platform terbuka untuk komuniti Sabah mempamerkan potensi sebenar negeri ini kepada dunia.
Pelancaran ExploreSabah juga dilihat bertepatan dengan persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah yang bakal tiba, di mana permintaan terhadap maklumat lokasi menarik dijangka meningkat. Menurut beliau, apabila orang mencari tempat untuk dikunjungi, mereka memerlukan satu rujukan yang boleh dipercayai dan memaparkan gambaran sebenar, dan FH Cinema mahu tampil sebagai pilihan utama yang menghimpunkan lokasi-lokasi menarik yang ada di Sabah dalam satu platform profesional.
ExploreSabah kini boleh ditonton secara percuma melalui laman rasmi FH Cinema di menerusi menu ExploreSabah atau ExploreSabah | FH Cinema. Inisiatif ini menandakan satu fasa baharu peranan FH Cinema bukan sahaja sebagai platform hiburan digital, tetapi sebagai sebuah medium pembangunan komuniti dan promosi pelancongan Sabah secara sistematik dan berimpak.
Pelancaran ini sekaligus mencerminkan iltizam F Harmthon Production Sdn Bhd dan FH Cinema dalam membina ekosistem kandungan tempatan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mampu menjana peluang, meningkatkan ekonomi dan membina masa depan komuniti Sabah melalui kuasa penceritaan visual.
