
Kota Kinabalu, 3 Jun 2025 — Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah rakaman video yang mengaitkan penyanyi tempatan, Jestie Alexius — pelantun lagu popular Kosorou Kopo Nangku Doho — dengan dakwaan menghina sukukaumnya sendiri, Dusun, serta agama Kristian. Video tersebut turut mendakwa beliau tidak berpuas hati kerana tidak diundang membuat persembahan sempena Pesta Kaamatan di Tambunan baru-baru ini.
Rakaman berkenaan, yang dipercayai tangkapan layar daripada siaran langsung di akaun TikTok milik penyanyi itu, telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan warga maya, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi negatif terhadap beliau.
Namun, dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik oleh Jestie Alexius di akaun Facebook miliknya sebentar tadi, beliau tampil memberikan penjelasan berhubung situasi sebenar yang berlaku.
“Saya ingin tegaskan bahawa video tersebut bukan dirakam dengan pengetahuan atau keizinan saya. Ia dilakukan secara sembunyi ketika saya berada dalam tekanan mental yang sangat tinggi akibat gangguan, penghinaan dan buli siber yang berterusan terhadap saya,” jelas beliau dalam kenyataan itu.
Menurut Jestie, video berkenaan tidak dimuat naik oleh beliau sendiri di saluran rasmi, sebaliknya disebarkan oleh pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab dan berkemungkinan mempunyai niat yang meragukan.
Tambah beliau lagi, tekanan emosi itu berpunca daripada provokasi berulang-ulang yang diterima secara langsung termasuk daripada akaun palsu yang menghantar hadiah dengan nama yang memalukan semasa beliau sedang bersiaran langsung. Hal ini menyebabkan kawalan diri beliau terganggu dan melahirkan kenyataan yang diakui bukan mencerminkan pendirian sebenar.
“Saya tidak berniat menghina mana-mana agama atau bangsa. Sebarang kata-kata yang lahir ketika itu adalah hasil dari tekanan, kemarahan, dan kekecewaan yang sudah melampaui batas,” jelas beliau lagi.
Beliau turut menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan segelintir pengguna media sosial yang dengan mudah menjatuhkan hukuman seolah-olah memahami keseluruhan situasi tanpa mengetahui latar belakang sebenar tekanan yang dihadapi.
Dalam kenyataan itu juga, Jestie menyeru agar pihak yang telah merakam dan menyebarkan video tanpa keizinan serta pihak yang memulakan serangan siber terhadapnya turut disiasat secara adil oleh pihak berkuasa.
“Akhir kata, saya berdiri teguh sebagai insan yang telah melalui tekanan emosi, dan saya akan terus memperjuangkan kebenaran tanpa tunduk kepada tekanan awam yang hanya berpihak sebelah,” katanya.
Pihak media akan terus mengikuti perkembangan isu ini dari semasa ke semasa dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Marilah kita bersama mengamalkan etika komunikasi yang bertanggungjawab di alam maya.


