
Tiada kata yang dapat diungkapkan selain bersyukur dan berterima kasih kepada Nya kerana akhirnya projek album digital Muzik TV FH Idol musim kedua telah selesai sepenuhnya dan telahpun mula disiarkan di platform digital FH Cinema.
Demikian kata-kata Pengurus syarikat F Harmthon Production Sdn Bhd, Freddy Harmthon atau FH ketika dihubungi selepas beliau berkongsi pautan langganan album digital FH Idol ii di laman X pada Ahad.
“Jika melihat kepada cabaran yang ditempuhi sepanjang tiga bulan, ianya tidak mampu ku ungkapkan.
“Selain faktor cuaca yang tidak menentu, masa untuk penggambaran sangat terhad dan hanya kami jalankan pada Sabtu dan Ahad.
“Akibat faktor cuaca juga, ada beberapa lagu yang tidak ada model dan terpaksa berlakon sendiri. Ada juga model yang saat akhir tidak hadir dan terpaksa kita cari jalan lain untuk memastikan jadual penggambaran berjalan lancar,” katanya.
Menurut FH, album digital ini menghimpunkan sepuluh lagu ciptaannya sendiri di mana lapan daripadanya dinyanyikan oleh finalis pencarian bakat baharu FH Idol musim kedua yang telah berlangsung pada Februari 2023 dan Penyanyi Cindy MCR serta dirinya sendiri.
“Sembilan daripada sepuluh lagu yang ada dalam album ini adalah berentak rancak iaitu ‘Kaus Owiton Ku Matai’ nyanyian Tons Patons (Dangdut), ‘Itu Cuma Dusta Mu’ nyanyian Mieyz (Pop Dangdut), ‘Au Kokisib Tupus Nu nyanyian i-Glen (Sumazau), ‘Nopunso Noh Tupus Ku diya’ nyanyian Christine Justin (Pop Dangdut), ‘Mey Ley’ nyanyian Alex Adam (Pop Dangdut), ‘Poinlisok Oku Muhang Diya’ nyanyian Mimy J (Pop Dangdut), ‘Si Baju Hitam’ nyanyian Ya’Yai (Pop Dangdut), ‘Ngingis Koimbayat’ nyanyian Erlyn Wong (Dangdut), dan ‘Ku Rindukan Mu’ nyanyian Cindy MCR (Pop Dangdut), serta ‘Sisip Ginawo Nu Sinduol Ku’ nyanyian saya sendiri berentak balada,” tambahnya.
Selain mempunyai jalan cerita dalam lagu, penggambaran muzik TV album tersebut telah dijalankan di pusat pelancongan di Sabah antaranya Borneo Ant House Tuaran, Jurassic Land Kiulu, Peak Of Hope Tuaran, Karanahan View Kota Belud, Sawah Tempasuk Kota Belud, Kokol Haven Resort Menggatal, Kasih Sayang Hill Resort Menggatal, Le-On Kokol Elf Menggatal, The Iron Park dan Sinilou Kibambangan di Penampang, Mandalipau White Water View & Fishpond dan Nourish Beauty Spa Beringgis Papar.
“Sebagai Pengarah projek ini, saya amat menghargai sokongan semua pemilik lokasi penggambaran kerana menyokong usaha ini dan bekerjasama sepenuhnya semasa penggambaran dijalankan.
“langkah untuk menggunakan lokasi menarik di Sabah adalah satu cara kami membantu mempromosi lokasi-lokasi menarik di Sabah dan kita akan teruskan cara ini di masa akan datang di lokasi yang lain pula.
“Selain itu saya juga amat menghargai komitmen semua penyanyi, kru dan model sepanjang penggambaran dijalankan,” ujarnya lagi.
FH turut menghargai peranaan Kerajaan dalam melaksanakan projek ini kerana projek ini adalah sebuah inisiatif Malaysia Madani dan disokong oleh MyCreative Ventures di bawah Skim Dana Padanan MyCreative.
“Saya amat berharap sangat kepada seluruh Sabahan untuk menyokong album ini dengan melanggan album digital Muzik TV FH Idol ii dengan hanya RM25.
“Dengan RM25 ini anda boleh menonton 10 buah klip video yang menarik dan termasuk dalam versi karaoke.
“Jika dahulunya kita melayan muzik dengan mendegar melalui Cakera Padat, kini kita boleh melayan muzik melalui sistem digital iaitu di FH Cinema.
“Sokongan anda semua amat kami perlukan sebagai titik permulaan bagi kita semua memartabatkan seni hiburan melalui sitem digital sebenar,” akhirinya.
FH turut merancang untuk mengadakan sesi pelancaran dalam masa terdekat serta mencari ruang untuk temuramah stesen radio bagi mempromosi album berkenaan secara meluas.

