
Setelah filem Namatai mencipta sejarah dalam industri perfileman negeri Sabah apabila menjadi salah satu filem tempatan Sabah yang bertahan selama tiga minggu di Pawagam, kini dikhabarkan penayangan filem ini mungkin akan dilanjutkan sehingga minggu keempat.
Menurut Penerbit filem Namatai John Samud, beliau telah dimaklumkan oleh pihak pengedar bahawa penayangan filem Namatai berkemungkinan akan disambung sehingga minggu keempat jika mendapat sambutan yang baik daripada penonton pada penayangan filem ini di minggu ketiga.
“Secara peribadi saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk-Datuk, Datin-Datin dan Persatuan di Sabah ini yang memberikan sokongan, serta semua lapisan masyarakat atas sokongan padu terhadap filem ini.
“Selain kerjasama daripada pihak media TokToker dan Youtuber yang telah memberikan sokongan padu, ulasan-ulasan intelektual, golongan Professional, golongan biasa dan sederhana, telah memberikan komen yang begitu baik, memberikan motivasi dan pandangan yang terbaik tentang filem ini.
“Saya merasakan pandangan mereka itu ikhlas dan ada kejujuran sebab filem ini sendiri telah memaparkan identiti tersendiri yang buka ditiru-tiru tetapi mempunyai ketulenan maknanya kandungan filem ini adalah tulen,”katanya.
John turut memberikan kredit kepada Pengarah Namatai, Marlin Brando di atas kebijaksanaannya dalam memikirkan kandungan komersil, dan memikirkan beberapa aspek yang penting dan boleh menarik perhatian warga Sabahan serta menjadikan filem ini sebagai satu wadah untuk memberi kerjasama kepada kerajaan bagi memupuk semangat perpaduan antara kaum dalam negeri Sabah dan Malaysia amnya.
“Marlin telah memikirkan tentang bagaimana untuk memaparkan budaya, adat resam setiap lapisan masyarakat di Sabah, mewujudkan satu roh adegan yang memaparkan kesatuan kaum keharmonian kaum, dan kerjasama tanpa melihat bangsa, agama dan budaya.
“Selain itu, filem ini memaparkan sejarah dan adat resam yang jarang diketahui oleh orang-orang muda, serta memaparkan keindahan alam semulajadi Sabah, sesuai dengan saranan kerajaan untuk mempromosikan Sabah sebagai negeri yang terindah di bawah bayu. Saya sangat hargai cetusan minda pengarah saya,”tambahnya.
Walaupun filem Namatai tidak mendapat pungutan tinggi seperti filem dari Kuala Lumpur, tetapi filem ini telah mencipta satu sejarah di mana menjadi perintis dan membuka buah fikiran terutama sekali masyarakat Sabahan kerana, filem ini telah mendapat sambutan yang begitu meluas, dan mendapat publisiti yang sangat meluas.
“Seperti anak yang baru berjalan sudah pastinya sering kali jatuh sebelum dia pandai berjalan. Jadi filem ini saya umpamakan begitu.
“Saya mengharapkan supaya nanti akan datang dapat membuat filem yang lagi berkualiti, berkat sokongan padu warga Sabah,” katanya.
John turut berharap supaya semua lapisan masyarakat dan generasi muda agar menonton filem Namatai kerana filem tersebut banyak memaparkan perkara yang belum mereka lihat dan tidak lagi dijalankan di zaman ini, umpamanya perjuangan sejarah keharmonian kaum, keindahan semula jadi Sabah ini, dan adat resam yang dijalankan pada masa lalu yang kini sudah tidak dilakukan lagi.
“Harapan saya kepada kerajaan supaya kerajaan dapat melihat filem ini sebagai satu wadah untuk membantu kerajaan mempromosikan pelancongan di negeri Sabah ini.
“Kerana kita sedia maklum pihak kerajaan membuang ratusan juta ringgit untuk mempromosikan pelancongan, mempromosikan tempat-tempat yang menarik di sabah ini.
Tonton filem Namatai di pawagam berdekatan anda

“Jika kita perhatikan betul-betul filem ini, setiap kali tempat yang cantik itu kita paparkan dalam lakonan, kita telah menulis nama tempat tersebut seperti Pulau Supirak, Montaria di Kota Belud, Sungai Tampasuk, Losou Podi Tampasuk, Pantai Toburon, dan banyak lagi.
“Ini salah satu cara kita membantu kerajaan untuk mempromosikan tempat-tempat menarik di Sabah untuk meningkatkan aktiviti pelancongan di asbah ini.
“Kita juga telah memaparkan beberapa adegan di mana kita mempromosikan ataupun meningkatkan kesefahaman kaum keharmonian kaum dalam masyarakat Sabah berbilang bangsa dan agama serta kepercayaan. Dan ini juga merupakan satu cara kita membantu kerajaan meningkatkan dan memupuk perasaan muhibah harmoni di dalam Negara kita khususnya di negeri Sabah,” tambahnya.
John turut berharap agar filem Namatai diberikan diberikan penghargaan oleh pihak kerajaan dengan menjadikan filem Namatai sebagai satu bahan rujukan, dan panduan kepada genarasi baharu, serta ditayangkan di sekolah-sekolah yang berkaitan.
“kita mengharapkan supaya filem ini terus mendapat sambutan sehingga ke penayangan yang terakhir, dan saya juga berharap agar filem ini menjadi perintis kepada penggiat-penggiat filem di negeri Sabah yang semakin mengorak langkah, membuka mata dan terus berusaha membuat filem yang berkualiti,” akhirinya.



