
Beberapa hari kebelakangan ini, industri muzik Sabah dikejutkan dengan isu pencabulan hak cipta apabila seorang individu didakwa mengambil lirik lagu sedia ada daripada penyanyi terkenal Sabah dan menggubah semula melodi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) tanpa kebenaran. Keadaan menjadi semakin hangat apabila individu tersebut bukan sahaja tidak menunjukkan rasa bersalah, malah enggan mengeluarkan sebarang kenyataan permohonan maaf di media sosial. Lebih memburukkan keadaan, ruangan komen dalam video lagu terbabit turut ditutup.
Lebih mengejutkan, lagu-lagu tersebut telah dimuat naik ke platform penstriman digital seperti Spotify, seolah-olah ia adalah hak milik individu berkenaan. Kejadian ini mendapat perhatian bukan sahaja daripada rakan-rakan artis, tetapi juga Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA) serta Music Rights Sabah (MRS).
Pendirian MRS Mengenai Isu Ini
Menurut Pengurus Operasi Pelesenan MRS, Ronney Ajim atau lebih dikenali sebagai Ronney Bikin Panas (RBP), pihaknya telah menerima aduan rasmi daripada penyanyi Benn Simon Bukag melalui aplikasi WhatsApp mengenai perkara ini. Selain Benn, beberapa penulis lirik lain seperti Ateng dan Meeda Hamzani turut berdepan masalah yang sama.
“Saya percaya masih banyak lirik sedia ada yang telah digunakan oleh individu ini tanpa izin dan dijadikan lagu yang kemudian diklaim sebagai miliknya. Difahamkan, saluran YouTube individu berkenaan telah menjana pendapatan melalui iklan yang dimainkan ketika penstriman berlangsung,” kata Ronney.
Beliau turut menegaskan bahawa isu ini amat serius kerana ia melibatkan hak cipta, sesuatu yang masih kurang diberi perhatian oleh masyarakat Sabah. Hal ini menjadi cabaran besar bagi Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) seperti MRS dalam melaksanakan peranannya untuk melindungi hak cipta para ahlinya.
“Dalam kes ini, ahli MRS sendiri menjadi mangsa. Saya berpandangan bahawa perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan, dan satu penyelesaian tuntas mesti dicapai oleh pihak berkaitan. Ini juga berkait rapat dengan kredibiliti MRS dalam menangani isu yang melibatkan hak ahlinya,” tambahnya.

Tindakan Lanjutan oleh MRS
Ronney turut memaklumkan bahawa dalam kebanyakan komen netizen mengenai isu ini, terdapat gesaan agar MRS mengambil tindakan segera.
“Saya bersetuju bahawa ini adalah tanggungjawab CMO seperti MRS untuk membantu ahli-ahlinya menuntut hak mereka, memandangkan mereka telah memberikan mandat kepada kami dalam pengurusan hak cipta,” jelasnya.
Sebagai langkah awal, Ronney telah menghubungi Penasihat Undang-Undang MRS dan memaklumkan tentang isu ini yang semakin melarat.
“Beliau memberikan maklum balas positif dan bersedia untuk menyediakan khidmat nasihat undang-undang kepada ahli MRS yang terlibat. Saya telah menyampaikan maklumat ini kepada Benn untuk tindakan lanjut daripada pihak mereka. Kita tunggu perkembangan selanjutnya,” katanya.
Ronney juga menekankan bahawa MRS sentiasa komited dalam membantu artis-artis Sabah, terutama apabila melibatkan hak cipta.
“Terus terang, kesedaran mengenai hak cipta di Sabah masih jauh ketinggalan. Melalui CMO seperti MRS, saya berpeluang menyertai pelbagai program advokasi hak cipta muzik, terutama yang melibatkan hak royalti penggiat seni di peringkat kebangsaan.
"Terbaru, pada awal minggu ini, saya terlibat dalam program Advokasi Royalti Muzik Malaysia di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Penglibatan dalam program seperti ini memberi peluang kepada kita untuk mendalami ilmu hak cipta, yang mana di Sabah, kita masih perlu banyak belajar,” katanya.
"Terbaru, pada awal minggu ini, saya terlibat dalam program Advokasi Royalti Muzik Malaysia di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Penglibatan dalam program seperti ini memberi peluang kepada kita untuk mendalami ilmu hak cipta, yang mana di Sabah, kita masih perlu banyak belajar,” katanya.
Sebagai penutup, Ronney turut mengalu-alukan sebarang pertanyaan berkenaan hak cipta muzik.
“Sekiranya ada yang ingin mendapatkan maklumat atau perkongsian mengenai hak cipta muzik, boleh bertanya kepada saya. Saya sedia membantu. Saya juga bernasib baik kerana mempunyai rangkaian hubungan secara langsung dengan individu penting yang terlibat dalam polisi pengurusan hak cipta di peringkat negeri dan kebangsaan. Jangan segan untuk bertanya,” akhirnya.
Dengan isu yang semakin mendapat perhatian ini, diharapkan tindakan tegas dapat diambil bagi melindungi hak cipta para penggiat seni di Sabah serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menghormati hak harta intelek dalam industri muzik tempatan. FH CINEMA


