
Petaling Jaya – Sebanyak empat syarikat produksi filem tempatan telah menerima tawaran Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME), iaitu Alvt Production (M) Sdn Bhd, Dun Dum Production Sdn Bhd, Viper Studio Sdn Bhd, dan Aspire Pictures Sdn Bhd.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada Jumaat, 13 Disember 2024, dana FAME yang keseluruhannya berjumlah RM1.85 juta disalurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui FINAS, selaku agensi pelaksana Dana Kandungan Kreatif (DKK).
Dana ini bertujuan menggalakkan penerbitan kandungan kreatif dalam bentuk filem cereka, dengan menekankan kolaborasi antara syarikat produksi berpengalaman dan pengarah filem cereka yang menghasilkan karya buat pertama kali.
Terdahulu, FINAS telah membuka permohonan bagi dana FAME pada 16 September hingga 16 Oktober 2024. Sebanyak 69 permohonan diterima dan telah melalui proses saringan serta penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Kandungan Teknikal DKK, yang terdiri daripada wakil Kementerian dan penggiat seni.


