
Kota Kinabalu – Nama penyanyi terkenal Sabah, Jestie Alexius, kembali menjadi perhatian selepas beliau mengeluarkan kenyataan penuh emosi di media sosial yang tular sejak beberapa hari lalu. Dalam kenyataan tersebut, Jestie menzahirkan kekecewaannya terhadap kecaman dan penghinaan yang diterimanya dalam talian, sehingga mendorong beliau membuat luahan menyentuh hati: "Saya juga ada maruah."
Namun, walaupun kenyataan tersebut mendapat perhatian, masih terdapat segelintir netizen yang terus mempertikaikan luahan beliau, khususnya yang melibatkan isu agama dan bangsanya sendiri. Malah, ada pula pihak yang menjadikan isu itu sebagai bahan parodi dan jenaka di media sosial.
Apa yang ramai tidak ketahui ialah, Jestie pernah mengalami kemalangan serius pada tahun 2022 yang menyebabkan kecederaan di bahagian kepala. Perkara ini didedahkan oleh adiknya, Mary Livera, menerusi satu hantaran Facebook pada 24 November 2022 yang memohon doa orang ramai agar abangnya segera sembuh selepas menjalani pembedahan. Beberapa gambar turut menunjukkan Jestie dalam keadaan lemah di hospital, dengan balutan di kepala dan ditemani petugas perubatan.
Walaupun masih dalam fasa pemulihan fizikal dan mental, Jestie terus berkarya dan menghiburkan peminat. Namun, tekanan berterusan akibat buli siber dan kecaman dalam talian jelas memberi kesan besar terhadap emosinya. Menurut kenyataan dalam laman rasmi FH Cinema, Jestie menegaskan bahawa beliau juga manusia biasa yang punya had kesabaran.
Selepas gambar lama yang menunjukkan keadaan kesihatannya tular semula, ramai peminat dan rakan artis tampil memberikan sokongan moral. Rata-rata netizen menyuarakan simpati dan menyeru agar masyarakat lebih peka dalam memberikan komen, terutama terhadap individu yang mungkin sedang bergelut dengan kesihatan mental.

Menurut seorang pengguna Facebook, Sito Axyora, yang pernah mengikuti sesi langsung Jestie, beliau menyedari perubahan pada tingkah laku Jestie selepas kemalangan.
“Lepas pembedahan, dia tidak lagi seperti kita yang normal. Tapi syukurlah, dia masih boleh menghiburkan kita di live TikTok. Walaupun kadang kala tersasar sedikit kata-katanya... saya dapat rasa sendiri perubahan diri dia.
“Lepas pembedahan, dia tidak lagi seperti kita yang normal. Tapi syukurlah, dia masih boleh menghiburkan kita di live TikTok. Walaupun kadang kala tersasar sedikit kata-katanya... saya dapat rasa sendiri perubahan diri dia.
“Saya harap, sebagai sebangsa dengan dia, tolonglah berhenti kongsi video dia yang marah-marah dengan sindiran dan ketawa. Ramai content creator guna video dia untuk hiburan, sedangkan dia pernah alami kecederaan teruk. Tak patut,” ciapnya.
Kes ini menjadi satu lagi peringatan tentang betapa seriusnya kesan buli siber terhadap individu — lebih-lebih lagi mereka yang pernah mengalami trauma atau masalah kesihatan.
Jestie mungkin seorang artis, tetapi dia juga manusia biasa yang pernah terluka, diuji, dan masih dalam proses menyembuhkan diri. Diharapkan masyarakat lebih prihatin dan berhenti menambah luka dengan ejekan yang tidak berperikemanusiaan. Jangan jadikan penderitaan orang lain sebagai hiburan.
Jika anda atau orang sekeliling anda sedang menghadapi tekanan emosi, sila dapatkan bantuan profesional. Setiap insan berhak untuk dihormati — dan dipulihkan.



