
Pelakon Sahir Quluq terkejut mendapat berita gembira bahawa beliau telah ditawarkan untuk berlakon dalam filem terbaharu bertajuk “Syurga Dalam Botol.”
Sahir berkongsi rasa gembiranya itu di ruangan Facebooknya dan mengakui beliau di pilih memegang watak yang diberikan tanpa menghadiri sesi casting.
“Alhamdulillah ya Allah sangat-sangat bersyukur atas kepercayaan Penerbit Khairul Tujuh dan Pengarah Ebi Kornelis. Inshallah akan manfaatkan mandat yang diberi. Sama-sama kita berjuang untuk filem ‘Syurga Dalam Botol’ ini,” ciapnya.
Menurut perkongsian pengguna Facebook “Bila Langit Terbuka,” yang dikongsi semula oleh Sahir, seusai pemilihan Pelakon selari dengan watak yang dicari dibuat secara super kritikal, Penerbit dan Pengarah bersetuju managih khidmat pelakon tempatan Sahir yang mempunyai X-Factor dari sudut pandang sutradara walaupun watak tersebut mempunyai ramai saingan Pelakon dari Semenanjung dan negara Brunei Darussalam.
Sebagai rekod, Sahir sudah berlakon dalam tiga buah filem dan terkini filem bertajuk Namatai yang telah mula ditayangkan di Pawagam pada 28 Disember 2023. Dalam filem tersebut Sahir memegang watak Pius yang juga seorang pemandu pelancong.
Sahir turut terlibat dalam filem bertajuk "Danum The Movie" yang bakal ditayangkan dalam masa terdekat, dan juga berlakon dalam filem "Once Upon A Time In Tamparuli."
“Tahun lepas (2023) saya ada buat short film sendiri bertajuk ‘Hang Gauk’ begenre komedi dan boleh ditonton di YouTube, di mana saya memperolehi dana mikro daripada Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebanyak RM10,000.00.
“Alhamdulillah biarpun dana agak terhad, saya berjaya menyiapkan projek itu sungguhpun pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi sepanjang penggambaran dan selepas penggambaran,” Katanya.



