
Sejak kebelakangan ini, industri perfileman Sabah semakin menampakkan perkembangan positif di mana, banyak filem yang diterbitkan sepenuhnya oleh Penerbit filem Sabah tayangkan di Panggung Wayang.
Dan terkini satu lagi filem yang bakal diterbitkan antaranya filem bertajuk Mad Mamai, arahan sepenuhnya Pengarah filem terkenal Marc Abas.
Filem berdurasi dua jam sepuluh minit ini, dapat disimpulkan bagaimana besarnya kasih seorang ayah kepada anak, di mana ia mengisahkan tentang seorang lelaki pemabuk bernama Mamai yang secara tiba-tiba mengetahui dirinya mempunyai seorang anak bernama Ico yang juga pewaris kepada harta ibunya bernilai RM300 juta, bersama dengan ayah angkatnya yang jahat.

Ayah angkatnya tidak mahu berkongsi harta, dan mengupah mafia serta gangster-gangster Sabah untuk membunuh Ico, dengan menawarkan hadiah lima juta kepada sesiapa berjaya membunuh anak itu. Mamai harus melindungi anak kandungnya yang tidak kenalinya. Berjayakah Mamai melindungi anaknya itu, nantikan kesudahannya.
Penggambaran filem Mad Mamai telah bermula pada Ogos 2023 di mana, melibatkan banyak lokasi antaranya Avasi Bar, Hidden Paradise Resort, KK Notorious East Side, ITCC Penampang, Cowboy Bar KK, Street Sunday, Shamrock Irish Bar KK, Monsopiad Heritage Village dan Jolly Golf'in.
Dalam Filem Mad Mamai dibarisi oleh 70 orang pelakon dan kita akan melihat penampilan pertama pelakon-pelakon baharu Sabahan termasuklah Datuk Kenny Chua, Dr.Rizin Kusop, dan Datuk Gerard Rizal, disamping turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Marc Abas, Che Chie dan Ico.
Menariknya filem ini, ianya dibuat tanpa dana khas untuk produksi dengan menggunakan dana masyarakat.

Sepanjang penggambaran berlangsung, kesemua pelakon yang membintangi filem Mad Mamai diberikan bengkel lakonan secara percuma di mana mereka diajar tentang teknik berlakon termasuk teknik mengendali camera.
Menurut Marc, tayangan perdana filem Mad Mamai dijangka pada bulan Mei sempena Pesta Menuai yang juga berkemungkinan akan ditayangkan sebanyak tiga kali di Pawagam terpilih, dan seterusnya mengambil inisiatif untuk konsep wayang pacak di setiap daerah, sebelum ditayangkan di platform digital FH Cinema.
“Kita target penayangan filem di Sabah dan kita buktikan kepada masyarakat bahawa apabila kita bersatu padu, kita boleh menyiapkan satu filem dengan hanya menggunakan tenaga, dan cintakan seni.
“Generasi muda memainkan peranan yang penting dalam pembikinan filem ini termasuk pemilik lokasi penggambaran yang telah menaja tempat mereka untuk penggambaran dan sumbangan kewangan daripada Datuk Kenny, Dr. Rizin, dan Datuk Gerard.
“Saya berharap agar masyarakat terhibur dengan filem berkonsepkan Drama, Aksi dan Komedi ini, serta menghargai pengorbanan pelakon-pelakon dalam menjayakan filem ini.
“Saya juga sangat berharap agar apa yang saya sampaikan kepada semua pelakon yang membarisi filem ini benar-benar sampai kepada mereka dan mendapat manfaat daripadanya.
“Cabaran dalam filem ini adalah tahap stamina saya kerana, saya banyak gunakan tenaga untuk berlari ketika melakonkan babak dikejar gangster,” katanya.


