
By: Mr. Hazard
Labuan: Gelaran Lady’s Of Beautiful Body 2023 yang disandang oleh finalis Queen Of FH Media 2023 bernama Yana, ditarik balik oleh penganjur pertandingan F Harmthon Production Sdn Bhd atas sebab hilang kelayakan setelah menjatuhkan reputasi dan nama baik syarikat.
Terdahulu, Yana dalam satu perkongsian di akaun Facebook nya memuat naik video yang mana dia menggunting selempang gelarannya setelah tidak berpuas hati dengan keputusan akhir pertandingan Queen Of FH Media 2023 yang telah diadakan di Auditorium JKKNS, Kota Kinabalu pada Sabtu 22 Julai 2023.
Selain itu, Yana dalam perkongsian lain, membuat tuduhan palsu bahawa pihak FH memakan duitnya sebanyak RM500 yang dikatakan duit undian dan tuduhan ditipu berada pada tangga kesepuluh teratas.
Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Syarikat Penerbitan dan Pengedaran Filem, F Harmthon Sdn Bhd iaitu penganjur program ini mengakui cukup kesal dengan tindakan yang sangat memalukan itu.
“Sepatutnya perkara ini tidak berlaku. Semua peserta tahu ada 40 peratus markah adalah daripada Juri Awam yang mana undian tersebut adalah berbayar, dan 60 peratus markah adalah daripada Juri Professional. Jadi tidak ada isu yang melibatkan penipuan, mengambil atau meminta duit.
“Sejak awal program kita telah memberikan cadangan, dan cuba bantu untuk mereka terus kongsi undian termasuk membuat strategi masing-masing dan terpulang kepada mereka untuk menilai, mana yang sesuai untuk mereka.
“Semua kita ada rekod dan keputusan mingguan terpapar di Facebook tanpa bantahan semua peserta. Jadi kenapa perlu bertindak menggunting dan membuat perkongsian yang memalukan saya dan pihak produksi serta staff syarikat.
“Oleh itu saya sebagai Pengerusi dan Pengarah Urusan, serta Pemegang Saham syarikat ini sebulat suara menarik balik gelaran yang telah diberikan dan meminta pihak Yana untuk memulangkan semula Crown dan membayar ganti rugi kos selempang yang telah rosak,” tegasnya.
Ujar Freddy keputusan ini dibuat agar menjadi pengajaran kepada semua peserta pertandingan fesyen dan kecantikan yang dianjurkan oleh mana-mana penganjur agar menghormati keputusan juri dan menjaga nama baik pertandingan.
Yana turut diminta membuat permohonan maaf atas perbuatannya secara terbuka serta memadam semua perkongsiannya yang boleh menjurus ke arah hasutan warganet untuk membuat penilaian negatif kepada pihak FH, sebelum jam 2 petang pada hari ini.
“Selain permohonan maaf secara terbuka, dia perlu hantar semula mahkota kemenangan, kos ganti rugi dan pembelian semula selempang, beserta surat permohonan maaf ke pejabat syarikat di Putatan Sabah dalam masa tujuh hari,” katanya.
Yana bakal berdepan dengan tindakan tatatertib yang menjurus ke arah tindakan saman daripada pihak FH dan siasatan akan melibatkan penganjur yang pernah memberikan gelaran kepadanya sebelum ini.
