
By: Mr. Hazard
Penampang: Bekas penyandang gelaran “Lady’s Of Beautiful Body, Queen OF FH Media 2023” Yana, pada Sabtu tampil memohon maaf atas perbuatannya yang telah mencalarkan nama Penerbit dan Penganjur pertandingan fesyen dan kecantikan “Queen Of FH Media 2023”, F Harmthon Production Sdn Bhd.
Ditemani suami, Yana hadir ke Karyawan Square di sini bersama dengan mahkota kemenangan dan wang ganti rugi selempang yang telah dirosakkan.
Dalam pertemuan itu, pihak Syarikat diwakili oleh Cindy MCR, Monica Edward Anding dan Julie. Y serta turut hadir sebagai saksi, Pengarah Filem terkenal Tony Francis Gitom dan Sean sebagai wakil dari Karyawan Square.
“Saya mohon maaf kerana melakukan perbuatan itu. Saya akui saya salah dan saya tidak mahu panjangkan masalah ini. Lagipun saya mempunyai perniagaan sendiri dan tidak mahu perniagaan saya terjejas.
“Namun saya mohon perimbangan untuk memberikan masa kepada saya dalam lebih kurang dua minggu untuk menyelesaikan baki tuntutan ganti rugi bagi pembelian semula selempang dan majlis pemahkotaan pemenang baharu,” kata yana.
Menurut Pengarah Urusan syarikat ini Freddy Harmthon atau FH yang kini berada di Labuan ketika di hubungi, beliau turut memaafkan perbuatan Yana dan berharap Yana tidak mengulangi perbuatan seperti itu di masa akan datang.
“Mengenai dengan laporan Polis, saya cuma akan menarik balik laporan tersebut setelah semua tuntutan bayaran ganti rugi telahpun diselesaikan.
“Untuk makluman juga, semua perkara yang melibatkan kes ini telah saya maklumkan kepada pihak Polis Penampang untuk pemantauan kes.
“Jadi kita sangat berharap pihak Yana menyelesaikan tuntutan tersebut agar kes ini ditutup secepat yang mungkin.
“Pihak saya juga tidak berhasrat untuk memanjangkan kes ini namun jika tidak ada kerjasama daripada pihak mereka maka kita tidak ada pilihan untuk memberikan pengajaran yang sepatutnya,” katanya.
FH turut berharap kepada peserta yang mengikuti mana-mana pertandingan fesyen dan kecantikan, untuk bersikap profesional jika tidak mendapat sebarang gelaran, serta tidak membuat kenyataan yang memalukan di kedua belah pihak.
“Ia amat penting kerana ia bukan sahaja untuk menjaga nama baik masing-masing tetapi juga menjaga nama baik program seperti ini, yang dilihat mampu memberikan daya tarikan untuk memperkenalkan program kesenian di negeri ini di mata dunia,” katanya.
Terdahulu kes Yana telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Penampang atas tindakannya yang menggunting selempang gelaran yang telah diterimanya iaitu “Lady’s Of Beautiful Body” dan mengeluarkan kata-kata yang menyebabkan orang ramai beranggapan negatif kepada pihak syarikat F Harmthon Production Sdn Bhd sebagai penerbit dan penganjur program Queen Of FH media 2023, yang telah diadakan di Auditorium JKKNS, Kota Kinabalu pada 22 Julai 2023.
Gelaran tersebut juga ditarik balik oleh pihak syarikat dan Yana dituntut untuk memulangkan semula mahkota serta membayar RM1,000.00 untuk pembelian semula selempang dan perbelanjaan majlis pemahkotaan pemenang baharu.
Ujar FH lagi, pemahkotaan semula pemenang untuk gelaran yang dikosongkan ini akan diadakan pada 31 Ogos 2023 di studio syarikat ini dan akan disiarkan secara langsung di laman web digital penstriman filem dan muzik FH Cinema.
