Filem Namatai boleh dimaafkan - Rem

Image

Tidak sampai 24jam artikel mengenai filem Namatai yang dikatakan tidak mempunyai karisma dan lemah disiarkan di FH Cinema, ramai penonton yang telah menonton filem ini memberikan pandangan masing-masing dan ada yang mengakui filem tersebut sememangnya tidak ada karisma.

Walaupun banyak yang memberikan pandangan negatif, namun tidak kurang juga yang telah memberikan pandangan positif terhadap filem tersebut.

Professor Rem Dambul umpamanya, turut memberikan pandangan tersendirinya setelah menonton bersama kawan-kawannya.

Ujarnya, kisah filem ini sangat kaya dengan emosi antaranya rasa sendu, geram, lucu dan pedih bersilih ganti. Ramuan komedi, tragedi dan elegi, semuanya cukup.

Beliau turut mengakui Namatai bukan filem yang sempurna kerana ada sumbing di sana-sini, terutama aspek casting (pemilihan watak, bukan lakonan) dan suntingan, tetapi ia boleh dimaafkan, disebabkan oleh intipati filemnya mantap.

Tonton filem di FH Cinema dan menang RM50,000.00. klik gambar untuk langganan filem di FH Cinema

Image
“Ya, kekuatan Namatai terletak pada isi cerita yang dibawa. Plot agak kompleks dan bersimpang siur — tapi segala persoalan menyatu di pengakhiran filem. Skripnya yang berkeluk-keluk dan penuh twist, diolah dengan kemas.
 
“Secara jujur, filem ini mempesona dengan cara tersendiri. Walau dengan persembahan yang sederhana, sentuhan cerita filem ini betul-betul disampaikan dengan efektif, hingga menusuk ke dasar nurani.

“Filem ini bukan kisah sejarah atau pencitraan tentang sosiobudaya etnik Sabah tetapi filem ini fiksyen sepenuhnya. Sebuah imaginasi kreatif dari saduran historia dan nuansa lokal.

“Ini disclaimer yang penting, supaya tiada sesiapa mempersoalkan ketepatan interpretasi dari sudut sejarah dan sosiobudaya. Memang ada beberapa elemen yang menyanggah realiti di lapangan. Misalnya, dalam filem ini dipaparkan adat sogit komuniti Dusun. Juga dilatarkan sejarah penjajahan Inggeris dan pendudukan Jepun, termasuk kawad maut Sandakan-Ranau, pada penghujung Perang Dunia Ke-2.

“Tapi ada suntikan unsur-unsur dramatik dan hiperbola yang jelas. Barangkali tujuannnya untuk menambah “thrill”, biar lebih provokatif dan bikin sentap.

“Jadi, jangan obses sangat dengan ketepatan ideal dari segi interpretasi historia dan lokaliti. Tumpukan perhatian pada nilai-nilai pergelutan dan pertentangan dalam cerita,” ciapnya.
 
Katanya, naratif tunjang filem ini adalah mengenai dengan cinta yang tertangguh antara John dan Onduri. Cinta yang begitu kuat, namun terpaksa dilepaskan dengan hati yang rela, demi prinsip. John setia berpegang pada janji, sang kekasih yang sedang menunggu di bumi Inggeris. Onduri teguh menghormati adat susila, tidak ingin jadi wanita penyondol.
 
“Dinamika watak John dan Onduri diadun dengan pelbagai sub-plot yang lebih substantif: tentang hubungan rentas etnik, kezaliman penjajah, patriotisme kolektif menuntut pembebasan tanahair, pengkhianatan duri dalam daging dan dendam sengketa keluarga.
 
“Ini cinta luar biasa dua sosok insan dengan karektor istimewa, mewakili pertembungan dua etos nilai di antara pribumi dan kolonial. Onduri, srikandi Dusun yang progresif dari segi pemikiran, tapi kekal menghormati tradisi. John, pegawai Inggeris yang empati kepada aspirasi lokal, tapi perlu taat kepada agenda negaranya.
 
“Padat dengan ironi, tebal dengan paradoks. Kisah setulus pengorbanan jiwa di tengah-tengah konflik perang dan kemelut kemanusian, juga survival rindu yang merentas lebih lapan dekad. 
Image
“Elemen mistik Aki Nabalu adalah jantung kepada “Namatai”. Pemilihan Tempasuk dan Mesilou sebagai lokasi wajib, membawa signifikan tersendiri dari segi sejarah dan panorama alam.
 
“Wajah Kinabalu yang paling ikonik dalam mainstream sekarang, tentunya dari sudut pandang Kundasang (Mesilou). Gunung ini menganjung panjang dari timur ke barat, dan semua kemuncak utama (termasuk Low’s Peak yang tersohor itu) boleh kenampakan jelas,” tambahnya.
 
Kongsinya lagi, filem Namatai memanfaatkan sepenuhnya aset geologi terulung Sabah ini, dari kedua-dua sudut pandang. Bukan saja untuk menghasilkan pengarahan seni dan sinematografi yang menggoda. Apa yang penting, sebagai satu simbolik tersembunyi untuk mempertemukan memori silam dengan realiti terkini, demi melunaskan sebuah rindu yang sudah tertangguh bertahun-tahun. Suasananya pilu dan suram, tapi membawa katarsis jiwa yang sungguh mendalam dan sukar diungkap dengan kata-kata, membuatkan ianya menjadi twist terbaik filem ini.

“Serius, filem wajib tonton. Mandatori. Terutama para peminat filem Malaysia, yang dahaga sisi-sisi cerita baru yang eksotik,” akhirinya.
 
Image

Contact Info

No. 517 Lorong Pasir Putih 8A,
Taman Pasir Putih,
88200 Putatan Sabah.

Copyright © 2026 F Harmthon Production Sdn Bhd (1329111-D).

Register Form

Cancel

Sign in to your account

Register Form

Cancel

Sign in to your account