“Ya, kekuatan Namatai terletak pada isi cerita yang dibawa. Plot agak kompleks dan bersimpang siur — tapi segala persoalan menyatu di pengakhiran filem. Skripnya yang berkeluk-keluk dan penuh twist, diolah dengan kemas.
“Secara jujur, filem ini mempesona dengan cara tersendiri. Walau dengan persembahan yang sederhana, sentuhan cerita filem ini betul-betul disampaikan dengan efektif, hingga menusuk ke dasar nurani.
“Filem ini bukan kisah sejarah atau pencitraan tentang sosiobudaya etnik Sabah tetapi filem ini fiksyen sepenuhnya. Sebuah imaginasi kreatif dari saduran historia dan nuansa lokal.
“Ini disclaimer yang penting, supaya tiada sesiapa mempersoalkan ketepatan interpretasi dari sudut sejarah dan sosiobudaya. Memang ada beberapa elemen yang menyanggah realiti di lapangan. Misalnya, dalam filem ini dipaparkan adat sogit komuniti Dusun. Juga dilatarkan sejarah penjajahan Inggeris dan pendudukan Jepun, termasuk kawad maut Sandakan-Ranau, pada penghujung Perang Dunia Ke-2.
“Tapi ada suntikan unsur-unsur dramatik dan hiperbola yang jelas. Barangkali tujuannnya untuk menambah “thrill”, biar lebih provokatif dan bikin sentap.
“Jadi, jangan obses sangat dengan ketepatan ideal dari segi interpretasi historia dan lokaliti. Tumpukan perhatian pada nilai-nilai pergelutan dan pertentangan dalam cerita,” ciapnya.
Katanya, naratif tunjang filem ini adalah mengenai dengan cinta yang tertangguh antara John dan Onduri. Cinta yang begitu kuat, namun terpaksa dilepaskan dengan hati yang rela, demi prinsip. John setia berpegang pada janji, sang kekasih yang sedang menunggu di bumi Inggeris. Onduri teguh menghormati adat susila, tidak ingin jadi wanita penyondol.
“Dinamika watak John dan Onduri diadun dengan pelbagai sub-plot yang lebih substantif: tentang hubungan rentas etnik, kezaliman penjajah, patriotisme kolektif menuntut pembebasan tanahair, pengkhianatan duri dalam daging dan dendam sengketa keluarga.
“Ini cinta luar biasa dua sosok insan dengan karektor istimewa, mewakili pertembungan dua etos nilai di antara pribumi dan kolonial. Onduri, srikandi Dusun yang progresif dari segi pemikiran, tapi kekal menghormati tradisi. John, pegawai Inggeris yang empati kepada aspirasi lokal, tapi perlu taat kepada agenda negaranya.
“Padat dengan ironi, tebal dengan paradoks. Kisah setulus pengorbanan jiwa di tengah-tengah konflik perang dan kemelut kemanusian, juga survival rindu yang merentas lebih lapan dekad.