
Penulis Lagu Razuan Sabtin atau Gurangak @ Wan menandatangani kontrak bersama dengan studio rakaman Best TV Production pada Selasa.
Dalam kontrak tersebut, Gurangak yang juga telah mencipta banyak lagu dan melahirkan penyanyi – penyanyi baharu melalui lagu ciptaannya, akan berada di bawah naungan studio terbabit sebagai penulis lagu atau komposer.
Menurut Gurangak, Best TV akan menjadi Penerbit kesemua lagu-lagu ciptaannya termasuk lagu yang akan diterbitkan kelak. Selain itu, studio tersebut juga akan membantu mempromosikan lagu-lagu ciptaannya, sama ada yang sudah di hantar ke stesen radio atau belum.
Studio tersebut juga akan menjadi wakil untuk menerima royalti tahunan lagu-lagunya daripada pihak Music Right Studio (MRS).
“Bagi memudahkan urusan tuntutan royalti lagu, pihak MRS mewajibkan semua komposer lagu untuk mempunyai Penerbit yang berlesen.
“Jadi saya memilih Best TV sebagai penerbit lagu-lagu ciptaan saya kerana, percaya dengan mereka serta mereka juga adalah kawan baik saya,” katanya.
Lagu-lagu ciptaannya sebelum ini antaranya Kikulit Merah Jambu nyanyian Mailin Epin, Miagal Rumandawi nyanyian Ronel Salumin, Mamaramit Tadau Kaamatan Nyanyian Sekar Madusa, Vellasyah, Sherin D Pojok, Rick Francis dan beliau sendiri.
Gurangak turut menyeru semua penggiat seni di Sabah agar mendaftar karya masing-masing dengan MRS agar lagu-lagu ciptaan dapat pulangan dari segi pungutan royalti tahunan.
“Biarpun pungutan tidak seberapa, namun sekurang-kurangnya penat lelah kita sebagai penggiat seni dihargai menerusi bayaran royalti lagu,” tambahnya.
Ujarnya jejaka yang meminati pasukan bola sepak Sabah FC ini, beliau kini dalam rangka untuk mencipta lagu-lagu baharu untuk penerbitan tahun hadapan.
